Monday, July 22, 2013

Siri Pada Suatu Hari 2 - Ahmad dan Ikan Haruan

                 Pada suatu hari, Ahmad berjalan di tepi sebuah kolam. Kolam itu agak besar. Orang kata banyak ikan didalamnya. Kelihatan juga banyak bunga teratai terapung di permukaan airnya. Cantik. Ahmad berhenti sambil melihat kecantikan kolam itu. Sambil dia melihat-lihat itu, dia ternampak seekor ikan. Ikan itu agak besar, ia berenang-renang di tepi tebing kolam itu. Melihat kepada fizikal ikan itu, Ahmad mengagak yang ikan itu adalah ikan haruan. Jika bukan haruan, kemungkinan besar ikan itu adalah ikan toman.

                “Wahai sang ikan, apakah namamu? Kenapa aku lihat kau berenang dengan begitu lemah sekali?” ujar Ahmad kepada ikan itu.

                “Oh manusia. Kau kah yang sedang bercakap denganku? Aku bernama Haru. Aku sejenis ikan haruan. Kau mahu tahu apa yang terjadi kepadaku?”

                “Jika kau mahu bercerita, aku sudi mendengarnya.”

                “Ceritanya begini. Aku sudah lama menghuni kolam ini. Seingat aku, aku ini antara yang paling lama hidup di sini. Dahulu kolam ini sungguh aman. Air sungguh segar. Oksigen mencukupi. Tetapi semenjak dua menjak ini semuanya sudah berubah. Air nya sudah berbeza. Kau lihat sahaja air ini. Coklat kehitaman. Bukannya warna coklat tanah. Banyak rakan-rakan ku sudah mati.”

                “Jadi apa yang aku boleh lakukan wahai Haru?”

                “Mungkin kau boleh menyebarkan penderitaan aku ini kepada kaummu?”

                “Kenapa mesti kepada kaum ku sahaja? Bukan kah banyak lagi hidupan yang menggunakan kolam ini?”

                “Benar. Hidupan lain pun menggunakan kolam ini. Tetapi hanya manusia sahaja yang merosakkan nya. Terlalu banyak perbuatan mereka yang merosakkan kolam ini”

                “Betukah wahai saudara? Jika benar seperti yang dikata, akan ku perkatakan perkara ini kepada kaum ku. Supaya mereka menjadi lebih beringat selepas ini”

                “Lega rasanya apabila mendengar kata-kata sedemikian dari mulut saudara. lebih-lebih lagi dari mulut saudara Ahmad yang terkenal dengan sikap yang baik dan berbudi pekerti.”

                “Jangan begitu. Apa yang saya lakukan adalah mengikut apa yang terdaya oleh saya. Membantu yang tidak berdaya.”

                “Jika begitu terima kasih wahai tuan hamba. Ku doakan sentiasa dalam rahmatNYA”

                “Sama-sama.”


                Setelah itu, Ahmad pun meneruskan perjalanannya. Dia tersenyum, kerana dia mahu hidupan di kolam itu juga kembali tersenyum.

Ya, ini bukan ikan haruan, ini adalah ikan si tambi gile

No comments:

Post a Comment